Thursday, May 28, 2009

MANUSIA DALAM KERUGIAN

Surah al-'Asr yang tidak asing bagi kita memberitahu bahawa manusia berada di dalam kerugian melainkan mereka yang beriman kepada Allah dan beramal soleh serta berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Walaupun surah ini tidak diulang setiap hari, namun kita dapat membacanya dengan fasih sekali bak kata orang 'cair mulut'. Akan tetapi, sejauh manakah penghayatan kita dalam kehidupan seharian selaku muslim yang beriman?




Di dalam surah ini, Allah SWT telah bersumpah dengan masa membuktikan kemuliaan dan kepentingan masa itu. Justeru, kita dilarang mencela masa sebagaimana yang ditegah oleh Baginda SAW. Di dalam kitab Tafsir al-Munir diterangkan bahawa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kesempitan, kekurangan dan kebinasaan melainkan :

~Mereka yang menghimpunkan di antara beriman kepada Allah dan beramal soleh, maka mereka beruntung dan tidak rugi kerana mereka beramal untuk akhirat. Urusan dunia tidak menyibukkan mereka daripada urusan akhirat. Mereka beriman dengan sepenuh hati dan beramal dengan seluruh anggota badan.

~Mereka yang saling berpesan dengan perkara yang thabit (tidak boleh diingkari) iaitu beriman kepada Allah serta mentauhidkanNya, melaksanakan syariatNya dan meninggalkan laranganNya. Kebenaran antonim kebatilan, merangkumi semua kebaikan dan apa yang mesti dikerjakan atau menunaikan ketaatan dan meninggalkan perkara yang haram.

~Mereka yang saling berpesan dengan kesabaran dalam melaksanakan kewajipan, meninggalkan maksiat dan menghadapi taqdir serta ujianNya. Jadi sabar itu dalam melakukan ketaatan, meninggalkan kemungkaran, menghadapi musibah serta ketentuan Allah dan sabar apabila disakiti oleh orang yang diseru kebaikan kepadanya serta ditegahnya melakukan kemungkaran.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang beruntung dan mendapat kebahagiaan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat yang kekal abadi. Justeru, sama-samalah kita memenuhi masa yang terlalu berharga ini dengan kebaikan dan perkara-perkara yang berfaedah bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada orang lain.






Sama-samalah kita menghayati nasyid di bawah ini...

Comments :

0 comments to “MANUSIA DALAM KERUGIAN”

Post a Comment

Nasihat dan teguran anda amat dialu-alukan