Friday, June 12, 2009

Mengapa Perlu Berkasar Dengan Anak

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa tidak terlepas dari memarahi anak-anak apabila mereka melakukan kesalahan sama ada kecil mahupun besar. Namun ada sesetengah ibu bapa yang tidak dapat mengawal diri ketika marah menyebabkan mereka melampaui batas yang dibenarkan. Akibatnya berlakulah kes penderaan kanak-kanak dan seumpamanya.

Timbul persoalan di sini, mengapakah anak-anak yang masih kecil itu kadang-kadang dimarahi berlebih-lebihan. Tidakkah ibu bapa terfikir bahawa jika anak kecil itu baru berusia dua tahun, itu bermakna anaknya baru dua tahun hidup di dunia ini. Suatu tempoh yang cukup singkat bagi anak kecil itu untuk mengetahui semua perkara lantas mendorongnya untuk melakukan sesuatu yang baru atau mencuba sesuatu yang baru dilihat.

Segelintir ibu bapa terlepas pandang bahawa anak-anak mereka seringkali melakukan apa sahaja yang mereka lihat ; ' Child See Child Do '. Oleh yang demikian, jika mereka mahu anak-anak menjadi anak yang soleh, sayugialah mereka di samping berdoa, mengajar anak-anak dengan adab-adab yang diajar oleh Islam. Selain itu, elakkan mereka dari melihat atau menonton rancangan-rancangan yang boleh merosakkan minda mereka.

Apa yang penting ibu bapa tidak membiarkan anak-anak mereka melakukan kesalahan walaupun kecil. Mereka patut ditegur dan dinasihati dengan cara penuh hikmah agar mereka tahu perkara yang mereka buat adalah salah. Contohnya jangan biarkan anak-anak buat bising walaupun mereka tetap bising selepas ditegur kerana sememangnya mereka adalah kanak-kanak. Namun tujuan tegur adalah supaya mereka tahu bahawa tidak boleh buat bising. Tetapi kita beritahulah pada mereka supaya perlahankan suara, bukannya diam terus!

Allah SWT telah mengurniakan hikmah kebijaksanaan kepada Luqmanul Hakim dalam mendidik anak. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud :

" Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

Dan firmanNya lagi di dalam surah tersebut yang bermaksud :

" (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita hikmah kebijaksanaan dalam mendidik anak-anak pada masa akan datang jika belum menjadi seorang ibu atau bapa dan berhikmah dalam berdakwah kepada teman, ahli keluarga, dan masyarakat.Amin.

Comments :

3 comments to “Mengapa Perlu Berkasar Dengan Anak”

Kena buat buku ni. Tarbiyyatul Awlad karangan Abd Aziz Al-Kemamani.. huhu

al-aman said...
on 

Semoga itu satu doa..insyaAllah doa orang soleh akan dimakbulkan..ameen('',)

Abu Hawa' said...
on 

bila seorang anak memecahkan pinggan mangkuk @ merosakkan barang2 @ ape2 jela..ayah/emaknya marah seolah-olah barang tu tak leh dapat dh je..mereka lupa yg anak mereka itu adalah anak mereka yg tidak boleh ditukar ganti..

Anonymous said...
on 

Post a Comment

Nasihat dan teguran anda amat dialu-alukan